Bahasa Malaysia / English

Laporan Kredit

 Laman Utama / Kegunaan Laporan Kredit
Kegunaan Laporan Kredit

Laporan kredit ialah satu daripada sumber maklumat yang digunakan oleh institusi kewangan peserta untuk membuat penilaian terhadap permohonan kredit. Institusi kewangan peserta akan memaklumi pemohon bahawa semakan kredit akan dijalankan terhadap permohonan dan permohonan kemudahan kredit tersebut akan dilaporkan kepada Biro Kredit. Institusi kewangan peserta juga akan merujuk kepada Biro Kredit secara berkala untuk mendapatkan maklumat kredit terkini peminjam sedia ada.

 

Laporan kredit mengandungi data berdasarkan fakta dan rekod sejarah iaitu kedua-dua maklumat positif dan negatif mengenai kedudukan kredit peminjam seperti yang dilaporkan oleh institusi kewangan peserta. Biro Kredit tidak memberikan apa-apa pandangan mengenai maklumat dalam laporan kredit dan tidak menyenaraihitamkan mana-mana peminjam tanpa mengambil kira sejarah pembayaran balik. Institusi kewangan peserta masing-masing mempunyai dasar dalaman sendiri apabila memproses permohonan pembiayaan. Keputusan pemberian pinjaman dan pembiayaan oleh institusi kewangan peserta bergantung pada maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber, termasuk laporan kredit, kesanggupan mengambil risiko dan strategi perniagaan sesebuah institusi kewangan peserta. Oleh itu, sebuah institusi kewangan peserta mungkin meluluskan permohonan manakala institusi kewangan peserta lain mungkin akan membuat keputusan sebaliknya, bergantung pada kesanggupan mengambil risiko institusi kewangan peserta masing-masing. CCRIS tidak semestinya merupakan sumber maklumat tunggal yang digunakan oleh institusi kewangan peserta untuk menilai kepercayaan kredit pemohon atau peminjam.