Bahasa Malaysia / English

Biro Kredit

 Laman utama / Soalan Lazim

Soalan Lazim

Apakah CCRIS?
Jawapan: 
CCRIS merupakan sistem yang mengumpul semua maklumat kredit peminjam daripada institusi kewangan peserta dan membekalkan semula maklumat tersebut kepada institusi kewangan peserta. CCRIS merupakan salah satu sumber maklumat yang digunakan institusi kewangan peserta untuk membantu mereka memeriksa sejarah kredit peminjam sedia ada atau bakal peminjam mereka. CCRIS bukanlah sistem yang menyenarai hitam peminjam seperti tanggapan sesetengah pihak.
Apakah nama penuh CCRIS?
Jawapan: 
CCRIS ialah singkatan bagi Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (atau Central Credit Reference Information System).
Mengapakah Bank Negara Malaysia menubuhkan CCRIS?
Jawapan: 
Salah satu fungsi Bank Negara Malaysia adalah untuk mengawal selia dan menyelia institusi kewangan supaya sistem kewangan negara kukuh dan stabil. Oleh itu, Bank Negara Malaysia menggalakkan dasar kredit yang berhemat dan sikap profesional dalam kalangan institusi kewangan, termasuk penerapan amalan perniagaan terbaik dalam pengurusan risiko kredit. Satu daripada cara untuk berbuat demikian adalah dengan menyediakan CCRIS kepada institusi kewangan peserta supaya mereka boleh membuat keputusan pemberian pinjaman dengan lebih cepat dan baik berdasarkan maklumat yang mencukupi.
Apakah Biro Kredit Bank Negara Malaysia?
Jawapan: 
Biro Kredit ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Bank Negara Malaysia 1958 (telah dimansuhkan) dan terus beroperasi di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Adakah aktiviti Biro Kredit dikawal selia?
Jawapan: 
Ya, Biro Kredit dikehendaki beroperasi mengikut peruntukan yang ditetapkan di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Bolehkah saya menghalang Biro Kredit daripada menyimpan maklumat diri saya?
Jawapan: 
Tidak boleh. Biro Kredit diberikan kuasa undang-undang untuk mengumpulkan dan menyimpan maklumat sedemikian.
Adakah undang-undang membenarkan seseorang peminjam mengakses laporan kreditnya sendiri?
Jawapan: 
Ya. Akta Bank Negara Malaysia 2009 membenarkan Bank Negara Malaysia memberikan maklumat kredit peminjam kepada peminjam itu sendiri untuk pengesahan ketepatan maklumat yang terdapat dalam laporan kredit.
Adakah institusi kewangan diberikan akses kepada laporan kredit seseorang peminjam yang bukan pelanggannya/bakal pelanggannya?
Jawapan: 
Tidak. Jika institusi kewangan mengakses laporan kredit secara tidak sah, institusi kewangan tersebut boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Institusi kewangan memaklumi saya bahawa saya mempunyai rekod laporan kredit yang buruk. Di manakah boleh saya dapatkan butiran terperinci rekod tersebut?
Jawapan: 

(1) Sekiranya anda tinggal di Lembah Klang, anda boleh dapatkan laporan kredit daripada Pusat Khidmat Pelanggan, Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) Bank Negara Malaysia, di Ibu Pejabat di alamat berikut:

BNMLINK 
LINK dan Pejabat Wilayah 
Tingkat Bawah Blok D
Bank Negara Malaysia 
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur

BNMLINK beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat, kecuali cuti umum, dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang (termasuk waktu makan tengah hari).

Sila bawa bersama-sama anda MyKad atau pasport (jika bukan warganegara Malaysia) dan dokumen sokongan lain yang boleh mengesahkan identiti anda, seperti lesen memandu dan sebagainya. Anda akan diberikan laporan kredit semasa kunjungan tersebut.

 

(2) Sekiranya anda tinggal di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu atau Kuching, anda boleh dapatkan laporan kredit daripada Pusat Khidmat Pelanggan di Pejabat Wilayah/Cawangan Bank Negara Malaysia yang berkenaan. Berikut ialah alamat Pejabat Wilayah/Cawangan Bank Negara Malaysia:

 

Pejabat Wilayah Pulau Pinang
Bank Negara Malaysia
No.27 Lebuh Light
10200 Pulau Pinang
Telefon: 04 262 7125 / 7126 / 7127 / 7128 / 263 3371
No Faks: 04 261 1223

 

Pejabat Wilayah Johor Bahru 
Bank Negara Malaysia
Jalan Bukit Timbalan
80000 Johor Bahru
Johor
Telefon: 07 224 0799 / 224 0792 / 224 0741 / 223 2798 / 223 2809
No Faks: 07 223 6931

 

Cawangan Kuala Terengganu 
Bank Negara Malaysia
Jalan Sultan Mohamad
21100 Kuala Terengganu
Terengganu
Telefon: 09 622 0571 / 0634 / 0644
No Faks: 09 622 0516

 

Pejabat Wilayah Kota Kinabalu  
Bank Negara Malaysia
Jalan Lapan Belas
88000 Kota Kinabalu
Sabah
Telefon:088 211 211 / 212 / 213 / 214 / 215 / 216
No Faks: 088 219 464

 

Pejabat Wilayah Kuching
Bank Negara Malaysia
Jalan Satok
93000 Kuching
Sarawak 
Telefon:082 252 311 / 230 969
No Faks: 082 414 996

 

Pejabat Wilayah/Cawangan Bank Negara Malaysia, kecuali cawangan Kuala Terengganu, beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat, dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang (tutup pada waktu makan tengah hari: 1.00 hingga 2.00 petang). Cawangan Kuala Terengganu Bank Negara Malaysia beroperasi dari hari Ahad hingga Khamis, dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang (tutup pada waktu makan tengah hari dari pukul 1.00 hingga 2.00 petang).

 

(3) Sekiranya anda bukan dari kawasan yang dinyatakan di atas, anda boleh memohon laporan kredit melalui pos, faksimile atau e-mel. Sila lengkapkan dan hantar kepada kami perkara berikut:
(i) - Borang Permohonan Laporan Kredit (CRR);
(ii) - Borang Perisytiharan Pinjaman;(sila muat turun borang daripada laman sesawang(http://creditbureau.bnm.gov.my)
(iii) - Satu salinan MyKad yang jelas (depan dan belakang)/pasport (jika bukan warganegara Malaysia); dan 
(iv) - Mana-mana dua dokumen lain yang berikut (dengan nama dan alamat pemohon tertera dengan jelas pada setiap salinan):

  • Lesen memandu;
  • Bil utiliti seperti bil air, bil elektrik, bil telefon atau bil ASTRO;
  • Penyata akaun bank;
  • Penyata kad kredit; atau
  • Penyata KWSP.

Anda boleh menghantar melalui pos atau faksimile atau e-mel borang yang telah lengkap berserta dokumen sokongan kepada:  

BNMTELELINK 
LINK dan Pejabat Wilayah
Bank Negara Malaysia 
Jalan Dato' Onn 
Peti Surat 10922 
50929 Kuala Lumpur 
No Faks: +603 2174 1515
E-melbnmtelelink@bnm.gov.my

Sila ambil perhatian bahawa sekiranya anda datang sendiri ke LINK atau mana-mana Pejabat Wilayah/Cawangan Bank Negara Malaysia, anda boleh dapatkan laporan kredit dengan segera. Walau bagaimanapun, tempoh antara dua hingga empat minggu diperlukan untuk memproses permohonan yang diterima melalui pos/faksimile/e-mel memandangkan laporan tersebut akan dihantar ke institusi kewangan yang berhampiran dengan alamat tempat tinggal anda untuk diambil.

Berapa kerapkah boleh saya dapatkan laporan kredit?
Jawapan: 
Tiada had ditetapkan untuk mendapatkan laporan kredit anda.
Bolehkah saya dapatkan maklumat CCRIS melalui telefon daripada Bank Negara Malaysia?
Jawapan: 
Tidak boleh. Kami (Bank Negara Malaysia) tidak dibenarkan mendedahkan maklumat CCRIS melalui telefon memandangkan maklumat dalam laporan itu adalah rahsia dan pengesahan tidak boleh dibuat untuk memastikan pemanggil ialah pemilik maklumat tersebut.
Bolehkah saya dapatkan laporan kredit daripada bank saya?
Jawapan: 
Tidak boleh. Anda hanya boleh dapatkan laporan kredit daripada Bank Negara Malaysia.
Bolehkah saya berikan kebenaran kepada orang lain untuk mendapatkan laporan kredit saya daripada Bank Negara Malaysia?
Jawapan: 
Tidak boleh. Laporan kredit hanya boleh diberikan kepada individu yang merupakan pemilik maklumat tersebut.
Seorang rakan saya perlu mendapatkan laporan kreditnya. Bolehkah saya dapatkan laporan tersebut bagi pihaknya?
Jawapan: 
Tidak boleh. Laporan kredit hanya boleh diberikan kepada individu yang merupakan pemilik maklumat tersebut.
Saya akan menjadi penjamin untuk satu pinjaman. Bolehkah saya dapatkan salinan laporan kredit individu berkenaan yang pinjamannya telah/akan saya jamin?
Jawapan: 
Tidak boleh. Laporan kredit hanya boleh diberikan kepada individu yang berkenaan sahaja.
Saya seorang peminjam. Bolehkah saya dapatkan salinan laporan kredit penjamin saya?
Jawapan: 
Tidak boleh. Laporan kredit hanya boleh diberikan kepada individu yang berkenaan sahaja.
Rakan saya telah kematian bapanya baru-baru ini. Bolehkah rakan saya itu mendapatkan laporan kredit bapanya?

Jawapan: 
Laporan kredit si mati hanya boleh diberikan kepada individu yang diberikan kuasa secara sah untuk mentadbir harta pusaka si mati seperti yang dinamakan dalam Surat Tadbir Kuasa. Permohonan hendaklah dikemukakan bersama-sama dengan borang permohonan laporan kredit berserta satu (1) salinan dokumen berikut:

 

  • Dokumen asal atau salinan Surat Tadbir Kuasa yang telah disahkan oleh pengeluar; dan
  • Kad pengenalan (MyKad) Pentadbir Kuasa.
Saya merupakan pengarah sebuah syarikat dan ingin mendapatkan laporan kredit syarikat, apakah prosedurnya?

Jawapan: 
Permohonan hendaklah disertakan dengan Borang Permohonan Laporan Kredit yang disokong oleh satu salinan dokumen berikut:

 

  • Kad pengenalan (MyKad) atau pasport (jika bukan warganegara Malaysia) orang yang diberikan kuasa untuk mengambil laporan tersebut;
  • Surat kuasa (menggunakan kepala surat syarikat) daripada syarikat untuk mengesahkan orang yang diberikan kuasa untuk mengambil laporan kredit. Surat tersebut hendaklah ditandatangani oleh Setiausaha Syarikat dan sekurang-kurangnya dua Pengarah Syarikat;
  • Sijil Pendaftaran Syarikat yang telah disahkan (Borang 9) oleh Setiausaha Syarikat;
  • Sijil Pendaftaran Pertukaran Nama Syarikat yang telah disahkan (Borang 13) oleh Setiausaha Syarikat, sekiranya ada; dan
  • Senarai Pengarah Syarikat terkini yang telah disahkan (Borang 49) oleh Setiausaha Syarikat.

 

* Sila ambil perhatian bahawa surat kuasa dan semua salinan dokumen yang telah disahkan hendaklah bertarikh 14 hari bekerja sebelum tarikh penyerahan Borang Permohonan Laporan Kredit.

Berapakah yang perlu saya bayar untuk satu salinan laporan kredit?
Jawapan: 
Tiada bayaran dikenakan oleh Bank Negara Malaysia buat masa ini.
Dari manakah Biro Kredit mendapatkan maklumat?
Jawapan: 
Biro Kredit mendapatkan maklumat daripada institusi kewangan peserta, iaitu semua bank perdagangan, bank Islam, bank pelaburan, bank pembangunan, sebahagian syarikat insurans, pengeluar instrumen pembayaran dan institusi pemulihan berlesen, syarikat pembinaan, syarikat pemajakan kredit dan agensi kerajaan.
Apakah maklumat yang dilaporkan oleh institusi kewangan peserta kepada Biro Kredit?
Jawapan: 
Institusi kewangan peserta melaporkan data pengenalan diri peminjam yang penting (seperti nama, nombor pengenalan diri dan tarikh lahir) dan melaporkan data berkaitan permohonan kredit dan pinjaman yang dikeluarkan kepada peminjam (seperti jenis kemudahan kredit, pengendalian akaun dan had kredit).
Apakah jenis kemudahan kredit yang dilaporkan oleh institusi kewangan peserta kepada Biro Kredit?
Jawapan: 
Institusi kewangan peserta dikehendaki melaporkan semua jenis kemudahan kredit yang diberikan kepada peminjam, termasuk kad kredit, overdraf, kemudahan perdagangan, dan pinjaman perumahan.
Bolehkah saya dapatkan maklumat tentang sejarah pinjaman saya daripada CCRIS?
Jawapan: 
Laporan kredit hanya menunjukkan pinjaman belum berbayar atau akaun yang masih aktif, permohonan kredit yang belum diluluskan serta permohonan kredit sepanjang 12 bulan terakhir.
Saya kini mempunyai kad kredit daripada institusi kewangan. Adakah kemudahan kad kredit dilaporkan dalam CCRIS?
Jawapan: 
Ya. Maklumat kad kredit turut dilaporkan dalam CCRIS.
Saya mempunyai akaun semasa dengan sebuah institusi kewangan. Adakah maklumat ini dilaporkan dalam CCRIS?
Jawapan: 
Institusi kewangan peserta tidak dikehendaki dan tidak seharusnya melaporkan sebarang maklumat akaun semasa dalam CCRIS. Walau bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai kemudahan overdraf bersama-sama dengan akaun semasa tersebut, maklumat berkaitan kemudahan overdraf berkenaan akan dilaporkan dalam CCRIS.
Saya mempunyai akaun semasa tanpa kemudahan overdraf tetapi saya dimaklumkan oleh sebuah institusi kewangan bahawa saya mempunyai kemudahan tersebut. Bagaimanakah maklumat ini boleh dilaporkan kepada CCRIS?
Jawapan: 
Apa-apa lebihan sementara dalam akaun semasa (contoh: disebabkan oleh caj perkhidmatan yang dikenakan oleh institusi kewangan) akan dianggap sebagai overdraf sementara. Maklumat ini akan dilaporkan kepada CCRIS sehingga anda menyelesaikan lebihan tersebut. Sebaik sahaja anda berbuat demikian, rekod berkenaan tidak akan ditunjukkan dalam laporan kredit.
Saya dimaklumkan oleh institusi kewangan peserta bahawa akaun pinjaman saya tertunggak. Sekiranya saya menjelaskan jumlah tunggakan tersebut, adakah rekod tunggakan tersebut akan dikeluarkan daripada laporan kredit saya?
Jawapan: 
Jika anda telah menyelesaikan jumlah tunggakan, akaun yang kembali teratur ini akan ditunjukkan pada bulan anda membuat penyelesaian tersebut. Walau bagaimanapun, maklumat mengenai ansuran tertunggak sepanjang 12 bulan yang lalu akan dipaparkan dalam laporan kredit.
Saya dapati satu daripada pinjaman saya dilaporkan di bawah Akaun Di bawah Pemerhatian Khas. Apakah Akaun Di bawah Pemerhatian Khas?
Jawapan: 
Pinjaman yang dilaporkan di bawah Akaun Di bawah Pemerhatian Khas merujuk kepada pinjaman terjejas (impaired loans) yang diletakkan di bawah pengawasan khas institusi kewangan peserta sebagai usaha untuk mendapatkan semula bayaran bagi pinjaman tersebut atau pinjaman yang sedang dibayar. Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai akaun tersebut, anda boleh hubungi institusi kewangan yang berkenaan.
Jika permohonan kredit saya ditolak oleh sebuah institusi kewangan, adakah institusi kewangan lain juga akan berbuat demikian?
Jawapan: 
Ia tidak semestinya begitu. Setiap institusi kewangan mempunyai dasar pinjaman yang berbeza-beza, bergantung pada kesanggupan mereka mengambil risiko. Maklumat yang diberikan oleh Biro Kredit hanya sebahagian daripada keseluruhan proses membuat keputusan berhubung dengan permohonan pinjaman oleh institusi kewangan dan setiap institusi kewangan mempunyai pandangan yang berbeza mengenai maklumat tersebut.
Adakah Bank Negara Malaysia memberikan sebarang penarafan kredit terhadap pemohon kredit?
Jawapan: 
Tidak. Bank Negara Malaysia tidak memberikan apa-apa penarafan kredit atau pandangan mengenai kepercayaan kredit (creditworthiness) pemohon pinjaman atau peminjam sedia ada.
Adakah Bank Negara Malaysia menetapkan keputusan pemberian kemudahan kredit oleh institusi kewangan menerusi Biro Kredit?
Jawapan: 
Tidak. Bank Negara Malaysia tidak terlibat dan tidak akan terlibat dalam apa-apa keputusan pemberian kemudahan pinjaman oleh institusi kewangan. Laporan kredit hanya memberikan maklumat berdasarkan fakta seperti yang dilaporkan kepada Biro Kredit. Bank Negara Malaysia tidak memberikan apa-apa pandangan mengenai kepercayaan kredit seseorang individu. Institusi kewangan peserta akan membuat keputusan sendiri berdasarkan semua maklumat yang ada pada mereka, termasuk laporan kredit yang disediakan oleh Biro Kredit, maklumat yang diberikan oleh pemohon sendiri melalui dokumen permohonan kredit dan juga dokumen sokongan lain.
Permohonan pinjaman saya telah ditolak disebabkan rekod kredit saya yang buruk seperti ditunjukkan dalam CCRIS. Apakah yang perlu saya lakukan untuk memperbaiki kedudukan kredit saya?
Jawapan: 
Rekod kredit yang buruk mungkin disebabkan oleh tunggakan hutang terkumpul anda di institusi kewangan yang belum dibayar balik atau pembayaran balik dibuat bukan pada masa yang ditetapkan. Anda perlu berbincang tentang perkara ini dengan institusi kewangan peserta yang berkenaan mengenai skim bayaran balik dengan institusi kewangan tersebut. Rekod kredit anda akan menunjukkan kedudukan yang lebih baik apabila akaun anda kembali teratur.
Jika permohonan kredit saya ditolak oleh institusi kewangan, adakah ini bermakna nama saya telah disenarai hitam?

Jawapan: 
Tidak. Bank Negara Malaysia tidak menyenarai hitam sesiapa kerana ia tidak memberikan apa-apa pandangan mengenai maklumat dalam laporan kredit. Maklumat mengenai permohonan kredit yang ditolak juga tidak ditunjukkan dalam laporan kredit untuk memastikan institusi kewangan peserta tidak bersikap prejudis terhadap keputusan yang dibuat oleh institusi kewangan yang lain.

 

Bagi memproses permohonan pinjaman, institusi kewangan peserta akan membuat penilaian kredit terhadap peminjam. Ini mungkin melibatkan semakan latar belakang peminjam daripada pelbagai sumber, antaranya, maklumat yang dibekalkan oleh agensi pelapor kredit seperti Basis Corporation Sdn Bhd (BASIS), Credit Bureau Malaysia Sdn Bhd (CBM), CTOS Sdn Bhd (CTOS), Dun & Bradstreet Malaysia Sdn Bhd (D & B), Financial Information Services Sdn Bhd (FIS) and RAM Credit Information Sdn Bhd (RAMCI). Maklumat daripada agensi berkenaan boleh membantu institusi kewangan dalam proses penilaian mereka. Institusi kewangan perlu menggunakan semua data yang ada untuk membantu mereka membuat keputusan yang tepat dan berhemat dalam pemberian pinjaman dan pendahuluan.

Jika saya menyelesaikan semua pinjaman saya sekarang, bilakah rekod laporan kredit akan dikemas kini?
Jawapan: 
Rekod anda akan dikemas kini oleh institusi kewangan peserta yang berkenaan pada tarikh penghantaran laporan yang berikutnya, iaitu tidak lewat dari 10 haribulan bulan berikutnya.
Saya telah membuat pembayaran penuh akaun pinjaman saya. Mengapakah Bank Negara Malaysia masih belum mengemaskinikan rekod saya?
Jawapan: 
Bank Negara Malaysia hanya mengumpul maklumat kredit daripada institusi kewangan dan tidak mengemas kini mana-mana rekod. Institusi kewangan peserta yang bertanggungjawab untuk mengemas kini rekod anda. Sekiranya anda dapati akaun pinjaman tersebut belum dikemas kini, sila maklumkan perkara ini kepada institusi kewangan yang berkenaan.
Saya bukan lagi pemilik/rakan kongsi sebuah perniagaan, tetapi institusi kewangan masih lagi melaporkan saya sebagai pemilik perniagaan tersebut. Apakah yang perlu saya lakukan?
Jawapan: 
Sekiranya anda bukan lagi pemilik/rakan kongsi sesebuah perniagaan, anda perlu mengemas kini status pemilikan tersebut di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Jika dalam perjanjian pindah milik ataupun perjanjian dengan rakan kongsi lain menyatakan bahawa apabila anda keluar daripada perniagaan tersebut, dan anda tidak lagi dipertanggungjawabkan kepada pinjaman tersebut, anda perlu memberitahu perkara ini kepada institusi kewangan yang memberikan kemudahan pinjaman kepada perniagaan tersebut untuk mengemas kini rekod mereka. Ini supaya anda tidak lagi menanggung sebarang liabiliti yang berkaitan dengan pinjaman tersebut. Sekiranya anda menjadi penjamin pinjaman perniagaan tersebut dan tiada perjanjian untuk memindahkan liabiliti, anda masih bertanggungjawab terhadap pinjaman perniagaan tersebut.
Saya rakyat asing yang bekerja di Malaysia dan sedang memohon kad kredit daripada sebuah bank. Walau bagaimanapun, saya diberitahu ada individu lain yang mempunyai nombor dokumen pengenalan diri (ID) yang sama dengan nombor pasport saya. Oleh itu, pihak bank tidak boleh memproses permohonan kad kredit saya?
Jawapan: 
Memandangkan nombor pasport asing tidak unik, nombor ID yang diberikan kepada seseorang rakyat Malaysia mungkin secara kebetulan sama dengan nombor pasport anda. Ini tidak bermakna terdapat unsur penipuan. Dalam keadaan ini, sila maklumkan kepada pegawai bank yang memproses permohonan kad kredit tersebut supaya menghubungi Bank Negara Malaysia untuk menyelesaikan perkara itu, atau anda juga boleh memberikan maklumat mengenai pegawai bank tersebut kepada kami untuk tindakan susulan.
Saya tidak bersetuju dengan cara akaun saya dilaporkan sebagai tidak berbayar kerana saya tidak bersetuju dengan faedah yang dikenakan terhadap pinjaman saya. Bagaimanakah caranya untuk mengeluarkannya daripada laporan tersebut?
Jawapan: 
Item pinjaman tersebut tidak boleh dikeluarkan daripada laporan kredit kerana masih ada baki pinjaman belum berbayar dengan institusi kewangan berkenaan. Walau bagaimanapun, sementara menunggu hasil penyelesaian pertikaian tersebut, kami boleh memberikan pilihan kepada anda untuk menamakan laporan anda dengan Nama Khas. Ini bermakna bahawa apabila permohonan pinjaman anda sedang diproses oleh institusi kewangan, institusi tersebut perlu mendapatkan laporan kredit anda daripada Bank Negara Malaysia. Apabila laporan kredit anda diberikan kepada institusi kewangan yang berkenaan, kami akan sertakan kenyataan anda dan kronologi peristiwa yang berkaitan dengan kes yang dipertikaikan. Ingin dimaklumkan di sini bahawa dengan maklumat tambahan tersebut, keputusan untuk meluluskan atau menolak pinjaman anda masih lagi tertakluk kepada pertimbangan institusi kewangan yang memproses pinjaman tersebut.
Saya telah diisytiharkan muflis beberapa tahun lalu dan saya telah pun menyelesaikan sepenuhnya pinjaman saya. Bolehkah Bank Negara Malaysia mengeluarkan nama saya daripada status muflis tersebut?
Jawapan: 
Anda dikehendaki berurusan terus dengan Jabatan Insolvensi melalui talian 03-88851000 berhubung status muflis tersebut dan memaklumkan status terkini kepada institusi kewangan supaya ia dapat dimasukkan dalam laporan kredit.
Saya pernah menjamin seseorang beberapa tahun yang lalu. Individu berkenaan tidak mampu membayar balik pinjaman tersebut sehingga ia tertunggak. Bagaimanakah boleh saya elakkan nama saya daripada disenarai hitam?
Jawapan: 
Bank Negara Malaysia tidak mempunyai sistem senarai hitam. Menjadi penjamin ialah satu kontrak sah yang mengikat anda untuk membayar hutang peminjam sekiranya peminjam gagal berbuat demikian. Tahap tanggungan penjamin adalah seperti yang termaktub dalam dokumen jaminan dan anda akan dipertanggungjawabkan untuk liabiliti tersebut sebagaimana dinyatakan dalam terma dokumen jaminan berkenaan. Anda dinasihati supaya mendapatkan penjelasan daripada institusi kewangan yang berkenaan untuk menyelesaikan isu tersebut.
Saya menanggung hutang yang banyak dan tidak lagi mampu membayar pinjaman yang sedia ada. Saya berharap pinjaman saya dapat dijadualkan semula. Bagaimanakah Bank Negara Malaysia boleh membantu saya?
Jawapan: 
Anda boleh mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui talian 1-800-88-2575. AKPK ialah agensi yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan kewangan, kaunseling kredit, pendidikan kewangan dan penjadualan semula hutang untuk individu.
Di manakah boleh saya dapatkan maklumat lanjut mengenai CCRIS?
Jawapan: 
Anda boleh layari laman sesawang Biro Kredit melalui http://creditbureau.bnm.gov.my atau hubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465.