Bahasa Malaysia / English

Mengenai Biro Kredit

 Laman Utama/Mengenai Biro Kredit
Mengenai Biro Kredit

Biro Kredit Bank Negara Malaysia ditubuhkan di bawah Akta Bank Negara Malaysia 1958 (telah dimansuhkan) dan terus beroperasi di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Central Bank of Malaysia Act, CBA). Biro Kredit telah beroperasi sejak tahun 1982. Seperti biro kredit lain di seluruh dunia, Biro Kredit pada asasnya mengumpul maklumat kredit peminjam daripada institusi kewangan dan memberikan semula maklumat tersebut kepada institusi kewangan berkenaan dalam bentuk laporan kredit melalui sistem dalam talian yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat atau CCRIS (Central Credit Reference Information System). 

 

Institusi kewangan menyediakan kemudahan kredit untuk tujuan perniagaan atau peribadi. Maklumat dalam laporan kredit adalah penting dan digunakan untuk membantu institusi kewangan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi berhubung dengan permohonan kredit. Laporan kredit juga digunakan untuk menilai kepercayaan kredit (creditworthiness) peminjam sedia ada semasa membuat kajian semula kredit secara berkala. Oleh itu, adalah penting bahawa maklumat yang terdapat dalam laporan kredit adalah terkini dan tepat.

Peranan Biro Kredit

Biro Kredit memainkan peranan penting dalam pengurusan risiko kredit bank dan untuk menggalakkan budaya kredit yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini diakui sebagai komponen utama infrastruktur sistem kewangan yang mantap. Pelabur-pelabur antarabangsa juga semakin mengambil kira kewujudan sistem pengurusan risiko yang berkesan dan kukuh dalam sesebuah ekonomi ketika membuat keputusan pelaburan. Ini menjelaskan mengapa semakin banyak negara membangun turut menubuhkan biro kredit. Menurut kajian Bank Dunia, sebanyak 110 negara kini mempunyai biro kredit.

 

Kewujudan Biro Kredit memudahkan institusi kewangan untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi serta bertanggungjawab dan tepat pada masanya. Maklumat yang diperoleh daripada Biro Kredit juga membantu institusi kewangan mengurangkan kemungkinan berlakunya masalah lain seperti kes-kes penipuan.