Bahasa Malaysia / English

Maklumat Kredit

 Laman Utama / Maklumat Kredit yang Disimpan oleh Biro Kredit
Maklumat Kredit yang Disimpan oleh Biro Kredit

Biro Kredit Bank Negara Malaysia mengumpul maklumat berkaitan kredit peminjam mengenai semua peminjam institusi kewangan peserta di Malaysia termasuk individu, perniagaan (keempunyaan tunggal dan perkongsian), syarikat, badan profesional, persatuan dan entiti Kerajaan. Institusi kewangan peserta merangkumi semua bank perdagangan, bank Islam, bank pelaburan, bank pembangunan, dan beberapa institusi kewangan lain berlesen seperti syarikat insurans, pengeluar instrumen pembayaran, syarikat pemulihan, syarikat pembinaan, syarikat pemajakan kredit dan agensi kerajaan.

 

Institusi kewangan peserta dikehendaki melaporkan kepada Biro Kredit data berikut bagi setiap peminjam:

 

  •     Profil peminjam, seperti nama, nombor kad pengenalan/pendaftaran perniagaan, tarikh lahir/pendaftaran, dan sebagainya;
  •     Butiran permohonan kredit seperti jumlah yang dipohon, tarikh permohonan, jenis kemudahan; dan
  •     Butiran akaun kredit seperti jenis kemudahan kredit, had kredit, baki kredit belum jelas, pengendalian akaun dan status tindakan undang-undang, sekiranya ada.

 

Maklumat dikemas kini oleh institusi kewangan peserta secara berkala. Maklumat rujukan berhubung dengan butiran peminjam yang diberikan oleh institusi kewangan peserta disahkan dengan rekod rasmi Jabatan Pendaftaran Negara bagi rakyat Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi syarikat yang didaftarkan di Malaysia dan perniagaan yang didaftarkan di Semenanjung Malaysia dan Labuan.