Bahasa Malaysia / English

Maklumat Kredit

 Laman Utama / Kerahsiaan Maklumat
Kerahsiaan Maklumat

Pengumpulan dan pendedahan maklumat oleh Biro Kredit adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 (CBA), Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK), Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI) dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (DFIA). Pendedahan kepada pihak ketiga ditegah sama sekali kecuali pendedahan yang dibenarkan di bawah mana-mana undang-undang persekutuan dan/atau dengan persetujuan daripada pelanggan/peminjam. Undang-undang juga memperuntukkan hukuman yang berat untuk akses tanpa kebenaran, penyalahgunaan atau penyelewengan maklumat oleh mana-mana pihak yang telah diberikan akses kepada maklumat sedemikian termasuk, Bank Negara Malaysia.

 

Maklumat kredit yang disediakan oleh Biro Kredit kepada institusi kewangan yang menyertai CCRIS (institusi kewangan peserta) adalah sulit dan rahsia. Institusi kewangan peserta dikehendaki mematuhi peruntukan kerahsiaan perbankan di bawah CBA, APK, APKI dan DFIA yang melarang mereka daripada mendedahkan maklumat peminjam mereka kepada pihak ketiga kecuali dalam keadaan tertentu yang dibenarkan oleh undang-undang seperti semasa prosiding mahkamah antara peminjam dengan institusi kewangan, apabila pendedahan itu dibenarkan di bawah mana-mana undang-undang atau apabila diberikan kuasa untuk berbuat demikian, secara bertulis, oleh peminjam.

 

Penggunaan laporan kredit dalam institusi kewangan peserta adalah dikawal ketat oleh Bank Negara Malaysia melalui satu dokumen dasar yang dikeluarkan kepada institusi kewangan. Selain itu, keselamatan maklumat juga dilindungi melalui penggunaan kad pintar, kata laluan dan teknologi keselamatan lain. Di Bank Negara Malaysia, pangkalan data CCRIS menyimpan rekod semua permohonan untuk laporan kredit oleh institusi kewangan peserta, dengan memberikan butiran terperinci mengenai institusi kewangan peserta dan pegawainya yang meminta laporan kredit atau yang telah mengakses pangkalan data serta waktu diakses.