Bahasa Malaysia / English

Maklumat Kredit

 Laman Utama / Ketepatan Maklumat Kredit
Ketepatan Maklumat Kredit

Penting untuk memastikan bahawa maklumat kredit yang disimpan oleh Biro Kredit adalah tepat. Oleh itu, Biro Kredit bergantung pada institusi kewangan peserta untuk memberikan maklumat yang betul dan tepat pada masanya. Institusi kewangan peserta bertanggungjawab memastikan maklumat kredit peminjam mereka disenggarakan dan dilaporkan dengan tepat kepada Biro Kredit. Sekiranya didapati ada maklumat kredit yang tidak tepat diberikan oleh institusi kewangan peserta atau dibangkitkan oleh peminjam, institusi kewangan peserta perlu membetulkan maklumat dalam jangka masa yang munasabah dengan menghantar pembetulan kepada Biro Kredit. 

 

Bank Negara Malaysia bertanggungjawab memastikan CCRIS merupakan sistem yang selamat dan dilindungi daripada akses tanpa kebenaran. Keselamatan dan integriti maklumat kredit yang dilaporkan oleh institusi kewangan peserta sentiasa disimpan dengan baik.

 

Sebagai pentadbir sistem, Bank Negara Malaysia tidak mengubah/mengemaskini maklumat kredit yang disimpan di CCRIS. Apa-apa perubahan/pengemaskinian hanya boleh dibuat oleh institusi kewangan peserta itu sendiri, kecuali dalam keadaan yang memerlukan campur tangan Bank Negara Malaysia berdasarkan apa-apa permintaan oleh  institusi kewangan peserta atau peminjam dan disokong dengan dokumen bukti yang berkenaan. Memandangkan maklumat yang terkandung dalam laporan kredit dikumpul daripada pihak ketiga dan bukan menggambarkan pandangan Bank Negara Malaysia berhubung dengan kepercayaan kredit bagi perkara berkenaan, Bank Negara Malaysia tidak boleh mengambil apa-apa tanggungan berhubung dengan ketepatan atau kesempurnaan maklumat. Walau bagaimanapun, Bank Negara Malaysia akan membantu menyelesaikan apa-apa aduan daripada peminjam berhubung dengan maklumat kredit tidak tepat yang disimpan di CCRIS.